Episod kedua Aafiyat Lifestyle Musim ke-2 ini membawa tajuk “Dari Kerana Mata”. Episod kali ini membawakan anda informasi berkenaan kesihatan mata.

Episod ini telah pun bersiaran pada hari Jumaat, 2hb Mac 2018, 9:30PM di saluran Astro Oasis.

Sepertimana dalam Episod 1, Episod 2 juga membawa 2 orang ahli panel jemputan. 2 orang ahli panel yang akan bersama anda itu adalah Dr Helen Tan dan juga Wawa Zainal.

Aafiyat Lifestyle Musim 2

Profail Dr. Helen Tan

Dr. Helen Tan (MD USM, MS Ophthal UM) adalah seorang Pakar Perunding Oftalmologi di Pusat Pakar Mata KPJ. Beliau pernah mendapat Anugerah Khidmat Cemerlang dari Kementerian Kesihatan dalam tahun 2004. Beliau juga adalah Pensyarah Kehormat Kolej Perubatan Pulau Pinang dalam tahun 2009. Dr Helen Tan adalah aktivis Program Penjagaan Mata untuk Komuniti.

Profail Wawa Zainal

Wawa Zainal (Nur Hawa bt Zainal Abidin) adalah seorang model dan pelakon. Beliau telah bergiat di dalam industri seni dari tahun 2012. Cara Wawa Zainal menjaga kesihatan:

  • Makan buah buahan
  • Minum air yang banyak

Berikut adalah ulasan dari rancangan Aafiyat Lifestyle Musim ke-2 Episod 2 – Dari Kerana Mata.

 

Rabun Jauh, Rabun Dekat dan Rabun Tua, Bagaimana Ia Berlaku?

Menurut Dr. Helen Tan, rabun bukan sejenis penyakit. Ia terjadi disebabkan ketidak sempurnaan. Contohnya seperti hidung. Jika hidung tidak sempurna, kita masih boleh menghidu.

Mata pula, adalah sejenis organ yang istimewa. Apa yang kita nampak, titik fokusnya mesti jatuh pada titik saraf di belakang mata.

Dr. Helen Tan kemudian memberi penerangan tentang bagaimana sistem penglihatan kita berfungsi.

Benda yang kita lihat itu datang dalam bentuk cahaya. Cahaya akan menembusi lapisan pertama, iaitu kornea. Selepas itu, cahaya itu akan menembusi lensa dalam mata dan akan masuk tepat kepada saraf belakang yang dinamakan retina.

Orang yang mempunyai masalah rabun jauh, matanya terlalu panjang. Oleh itu, titik fokusnya tidak sampai ke retina. Ini menyebabkan penglihatannya menjadi kabur.

Mereka yang rabun dekat pula, titik fokusnya jatuh di belakang retina.

Satu lagi masalah ialah rabun tua. Ianya disebabkan oleh faktor penuaan. Rabun tua biasa terjadi apabila seseorang itu mencapai umur 40 tahun ke atas.

Wawa Zainal Pakai Kanta Lekap Selama Seminggu! Bahaya Atau Tidak?

Wawa Zainal menceritakan pengalaman beliau semasa mula menggunakan kanta sentuh seawal umur 15 tahun.

Beliau pernah menggunakan kanta lekap selama 1 minggu secara berterusan termasuklah ketika waktu tidur. Akibatnya, selepas seminggu, mata Wawa mengalami masalah. Beliau tidak boleh membuka mata sepenuhnya. Mata juga sentiasa berair dan merah. Selepas peristiwa tersebut, bertahun tahun lamanya Wawa tidak menggunakan kanta lekap.

Dr. Helen Tan, menasihatkan supaya orang ramai tidak menggunakan kanta lekap melebihi 8 jam dalam satu masa. Kanta lekap adalah benda asing yang diletakkan ke dalam mata. Penggunaan melebihi 8 jam akan menyebabkan kuman mula merebak di dalam mata. Mata pula akan mula menjadi merah.

Sekarang, Wawa mengamalkan penggunaan kanta lekap dari jenis pakai buang setiap hari.

Adakah Masalah Rabun Dapat Diatasi?

Dr. Helen Tan memberikan penerangan mengenai wujudnya rawatan rabun selain menggunakan kaca mata dan kanta lekap iaitu rawatan laser.

Terdapat 2 cara rawatan laser:

  • LASIK – Laser Assisted In Situ Keratomileusis.
  • ReLex Smile – Refractive Lenticule Extraction, Small Incision Lenticule Extraction.

Rawatan laser bertujuan untuk membentuk semula kornea supaya titik fokus akan terbentuk tepat di atas retina.

Pemeriksaan mata perlu dilakukan keatas pesakit terlebih dahulu. Sekiranya pesakit menggunakan kaca mata/kanta lekap berkuasa tinggi (1000 ke atas), ianya tidak digalakkan.

Rawatan laser sepatutnya akan kekal sepanjang hayat. Namun, bagi yang berumur 40 tahun ke atas, masalah rabun tua tetap boleh berlaku. Penggunaan cermin mata untuk membaca mungkin diperlukan.

Dr. Helen Tan juga menasihatkan agar mereka yang berumur 40 tahun pergi melakukan pemeriksaan mata (pemeriksaan dasar). Diikuti dengan pemeriksaan lanjutan setiap 2 – 4 tahun sekali. Bagi yang berumur 55 tahun pula, lakukan pemeriksaan mata setiap 1 – 3 tahun sekali. Bila umur sudah mencecah 65 tahun pula, pemeriksaan perlu dilakukan setiap tahun.

Jika Melihat Terus Ke Matahari Boleh Rosak Mata?

Dr. Helen Tan menerangkan yang perbuatan melihat matahari secara terus akan merosakkan bahagian mata yang dikenali sebagai “Macular”.

Selepas kita melihat matahari, kita akan terus dapat melihat kesannya secara langsung. Kita akan nampak tompok hitam dalam penglihatan. Namun, disebabkan mata mempunyai kebolehan untuk pulih semula dengan segera, kesannya tidak lama.

Walaupun memang tidak digalakkan untuk melihat matahari, tetapi gerhana matahari diberikan sedikit pengecualian kerana ia hanya berlaku sekali sekala sahaja.

Bagaimana Kekeringan Mata, Jangkitan Mata, Katarak, dan Glaukoma Berlaku?

Dr. Helen Tan menceritakan yang beliau banyak menerima kes berkenaan kekeringan mata. Menurut beliau, masalah kekeringan mata berlaku kerana mata kurang berkelip akibat penggunaan gajet seperti telefon dan komputer. Satu lagi punca adalah penggunaan alat pendingin hawa.

Katarak juga merupakan salah satu masalah yang kerap Dr. Helen Tan hadapi. Katarak terjadi apabila lensa, yang sepatutnya jernih, menjadi keruh. Ianya berpunca dari faktor usia.

Glaukoma pula berlaku apabila tekanan cecair dalam mata menjadi tinggi. Glaukoma merbahaya kerana ia berlaku tanpa simptom. Ia hanya disedari bila dah masalah itu telah mancapai tahap yang teruk.

Ada dua jenis glaukoma. Jenis yang sakit dan tidak sakit. Pesakit Glaukoma jenis pertama akan merasa sakit dari peringkat awal. Manakala jenis tidak sakit, hanya akan diketahui melalui pemeriksaan.

Glaukoma boleh mengakibatkan buta jika tidak dirawat. Masalahnya, oleh kerana ia tiada simptom, biasanya bila ia dikesan, sudah terlewat dan sebarang kerosakan yang berlaku tidak dapat di rawat lagi.

Satu lagi kondisi mata yang boleh menyebabkan pesakit menjadi buta adalah “Age Macular Degeneration” (Kemerosotan Makular Akibat Usia). Ianya berlaku apabila bahagian makular mata mengalami kerosakan akibat usia. Kerosakan makular ini berkait rapat dengan pemakanan harian seseorang.

Kesihatan Mata, Apa Yang Anda Perlu Lakukan?

Menurut Dr. Helen Tan, pemakanan merupakan satu faktor penting untuk menjaga kesihatan mata. Untuk menjaga kesihatan mata, setiap orang mestilah:

  • Mengambil makanan yang sihat dan seimbang.
  • Kekalkan berat badan optima
  • Bersenam
  • Mendapat tidur yang cukup
  • Penggunaan cermin mata hitam yang mempunyai perlindungan UV

Penjagaan berat badan adalah penting untuk mengelakkan dari terkena penyakit kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi. Kesemua penyakit ini menyumbang kepada kerosakan saraf di belakang mata. Salur darah di belakang mata boleh tersumbat dan ini boleh mengakibatkan mata menjadi buta.

Bagaimana Doktor Membuat Pemeriksaan Mata?

Dr. Helen Tan menerangkan tentang proses yang dilakukan ketika pemeriksaan mata.

Perkara pertama yang diperiksa adalah tahap penglihatan. Anda akan diletakkan pada jarak 6 meter dari carta ujian penglihatan (Snellen Chart). Tahap penglihatan akan ditentukan dari bacaan yang diperolehi dari ujian tersebut. Vision 20/20 adalah tahap terbaik. Ianya boleh dicapai sekiranya anda boleh baca apa yang tertulis di bahagian bawah carta.

Selepas itu, ujian tekanan mata pula dilakukan. Ujian ini penting untuk memantau kewujudan Glaukoma.

Setelah itu titisan ubat untuk mengembangkan anak mata akan diberi supaya pemeriksaan saraf retina dapat dilakukan.

Keseluruhan proses pemeriksaan mata ini hanya mengambil masa 30 – 45 minit.

Tabiat Menggosok Mata Itu Sebenarnya Merbahaya Untuk Mata

Dr. Helen Tan menasihatkan supaya kita menghentikan tabiat menggosok mata. Perbuatan menggosok mata itu boleh menyebabkan perubahan pada bentuk kornea. Perubahan bentuk kornea adalah punca masalah rabun silau (astigmatisma).

Bagi mereka yang perlu mencuci solekan di kelopak mata, Dr. memberi saranan supaya menggunakan tisu khas untuk mengeluarkan solekan. Paling tidak, gunakan tuala yang telah direndam dalam air suam untuk melembabkan kelopak mata terlebih dahulu sebelum mengeluarkan solekan secara lembut.

Makanan Terbaik Untuk Mata

Mata memerlukan vitamin seperti vitamin C, E dan A yang terkandung dalam lobak merah. Mata juga memerlukan khasiat Omage-3. Ikan seperti salmon dan tuna kaya dengan khasiat Omega-3. Disamping itu, sayur sayuran hijau seperti brokoli juga baik untuk penjagaan mata.

Senaman Mata – Peraturan 20/20/20.

Menurut Dr Helen Tan, penggunaan gajet seperti iPad dan komputer yang terlalu lama perlu dielakkan. Beliau mendedahkan cara untuk menjaga mata bagi mereka yang bekerja melihat skrin gajet setiap hari.

Mereka ini perlu mengamalkan Peraturan 20/20/20. Berikan mata peluang berehat dengan mengalih fokus ke arah sesuatu yang berada 20 kaki dari mata selama 20 saat untuk setiap 20 minit.

Buah Delima Sangat Baik Untuk Mata

Dr. Helen Tan menerangkan yang buah Delima mengandungi Beta Kerotena. Beta Kerotena ini akan diproses oleh badan untuk menghasilkan vitamin A. Vitamin A yang terbaik adalah yang dihasilkan oleh badan.

Dr Helen juga menyatakan yang pengambilan Vitamin A secara berlebihan boleh menjadikannya toksik untuk badan. Oleh itu, adalah lebih baik jika kita membenarkan badan menghasilkannya secara semula jadi.

Vitamin A penting untuk pigmen di dalam mata. Ia juga penting untuk membolehkan mata membuat penyesuaian bila kita beralih dari suasana gelap ke suasana terang.

Buah Teen, Makanan Terbaik Untuk Elak Rabun Tua.

Dr Helen Tan memberi penjelasan tentang khasiat yang terkandung dalam Buah Teen. Buah Teen mengandungi bahan anti oksida yang melindungi mata dari radikal bebas. Radikal bebas akan bertindak merosakkan bahagian belakang mata yang dipanggil “Macular”.

Hasil tindakan radikal bebas, bahagian “Macular” mata akan mengalami proses pereputan yang dipanggil “Macular Degeneration” atau Kemerosotan Macular.

Pengambilan makanan yang tinggi anti oksida seperti Buah Teen akan melambatkan proses reputan yang berlaku pada bahagian “Macular”.

Kismis Tinggi Anti Oksida – Baik Untuk Kesihatan Mata

Raisin bukan sahaja baik untuk otak. Raisin atau kismis adalah buah anggur yang telah dikeringkan. Buah anggur juga mengandungi bahan anti oksida. Oleh itu, ianya juga berfungsi untuk melambatkan kesan Kemerosotan Macular seperti Buah Teen.

Rumusan Dari Dr. Helen Tan

Rumusan Dr Helen Tan berkenaan penjagaan mata:

  • Untuk penyakit rabun, faktor persekitaran adalah satu unsur penting.
  • Elakkan dari menggunakan gajet dalam jangka masa yang panjang.
  • Jangan biarkan kanak kanak menonton tv dari jarak dekat
  • Membaca di tempat yang terang
  • Amalkan pemakanan yang sihat dan seimbang untuk mengelakkan Kemerosotan Macular yang berlaku akibat faktor usia.

Tontoni rakaman penuh Aafiyat Lifestyle Musim Ke-2 Episod 2 ini secara online di Saluran Youtube Aafiyat Lifestyle.

Kuiz Aafiyat Lifestyle

Setiap episod Aafiyat Lifestyle menyediakan peluang kepada penonton untuk memenangi hadiah lumayan dari Olive House. Episod 2 menawarkan hadiah utama yang bernilai RM400.

Penonton hanya perlu mendapatkan dua kata kunci yang diberikan di dalam rancangan. Kata kunci tersebut adalah jawapan kepada soalan yang disediakan di laman web kuiz. Alamat (URL) web kuiz juga diberikan di dalam rancangan.

3 jenis hadiah di tawarkan dalam Kuiz Aafiyat Lifestyle:

  1. Hadiah Utama (1 pemenang) – Pemilihan secara cabutan bertuah.
  2. Hadiah Referal Paling Tinggi (1 pemenang) – Peserta yang mendapat jumlah penyertaan tertinggi dari perkongsian link Kuiz.
  3. Hadiah Rakan Pemenang Utama – Peserta yang mana link perkongsiannya digunakan oleh Pemenang Hadiah Utama.

Sertailah Kuiz Aafiyat Lifestyle setiap Jumaat 9:30 malam sehingga Sabtu 1:00 petang ketika rancangan Aafiyat Lifestyle sedang bersiaran.