Ekzema merujuk kepada satu keadaan kulit dikenali sebagai “atopic dermatitis“.  Ia menyebabkan kulit menjadi kemerahan kerana keradangan dan kegatalan. Ekzema juga memperlihatkan bengkak kecil berair pada kulit. Makanan yang baik untuk ekzema dapat mengelakkan dari berlakunya serangan ekzema yang teruk.

Sehingga kini, tidak jelas punca sebenar yang menyebabkan penyakit ekzema. Walaupun ekzema bukan penyakit berjangkit, jika anda mempunyai ahli keluarga menghidapi simptom ekzema, anda juga berkemungkinan besar boleh menghidapi penyakit ini.

Selain itu, ekzema mungkin berpunca dari tindakbalas alahan terhadap makanan atau bahan yang mendatangkan alahan kepada seseorang. Oleh itu, penjagaan makanan yang betul adalah amat penting untuk mengelak keadaan ekzema menjadi lebih teruk.

Aafiyat Lifestyle Musim 2

Jadi, jika menghidapi ekzema, anda mesti mengambil berat jenis makanan yang patut dielak dan makanan yang sesuai diamalkan. Mari kita lihat senarai di bawah.

3 Makanan Yang Perlu Dielakkan

Secara amnya, rata-rata mereka yang menghidapi ekzema juga mengalami masalah alergi makanan. Antara alergi makanan biasa ialah:

  • Produk tenusu
  • Telur
  • Produk soya
  • Gluten
  • Kekacang
  • Ikan
  • Makanan laut

Bagaimanapun, sesetengah penghidap ekzema boleh mengambil makanan ini tanpa sebarang kesan ekzema. Namun, mereka dinasihati mengamalkan diet seimbang untuk mengelakkan risiko kejadian kulit gatal-gatal dan pedih datang kembali.

Berikut adalah makanan yang harus dielak oleh mereka yang menghidap ekzema.

1. Makanan Mengandungi Bahan Tiruan dan Bahan Pengawet

Makanan seperti buahan kering yang mempunyai bahan pengawet dan makanan segera dengan bahan tiruan dari segi pewarna atau rasa seperti makanan ringan boleh cetuskan ekzema.

2. Makanan Mengandungi Lemak Trans dan Gula Tinggi

Makanan tinggi lemak trans seperti marjerin dan makanan segera serta makanan yang tinggi kandungan gula seperti minuman berkarbonat serta kek boleh menyebabkan ketidakselesaan ketara pada penghidap ekzema.

3. Makanan Mengandungi MSG

Kandungan monosodium glutamate atau MSG tinggi dalam makanan sama ada semulajadi atau tiruan adalah musuh nombor satu kepada penghidap ekzema.

Antara makanan yang mengandungi unsur semulajadi MSG tinggi ialah brokoli, tomato, kicap dan sebagainya. Elakkan juga menggunakan MSG tiruan dalam masakan.

5 Makanan yang baik untuk Ekzema

5 Makanan yang baik untuk ekzema

Pengambilan makanan seimbang seiring dengan gaya hidup penghidap ekzema adalah lebih penting kerana setakat ini, tiada diet yang dicipta khas untuk pesakit ekzema.

Namun, anda boleh amalkan diet yang kaya dengan antioksidan untuk mengurangkan simptom ekzema. Berikut ialah pemakanan yang baik untuk ekzema dan boleh mengelakkan serangan ekzema secara teruk:

1. Ikan

Pemakanan ikan berlemak yang kaya dengan omega-3 seperti salmon dan herring baik untuk pesakit ekzema. Minyak ikan mengandungi kandungan omega-3 tinggi yang dapat mengurangkan keradangan. Anda boleh mengambil minyak ikan sebagai suplemen tambahan.

Selain itu, untuk mengubati ekzema, pesakit perlu mengambil dos agak tinggi, iaitu kira-kira enam gram omega-3, tetapi sebagai langkah berjaga-jaga, sila berjumpa doktor untuk maklumat lanjut.

2. Buah-buahan dan Sayur-sayuran

Pernah terfikir warna-warna cerah pada buah-buahan dan sayur-sayuran? Itu adalah daripada quercetin, iaitu sejenis bahan flavonoid yang mengandungi banyak antioksidan dan antihistamin.

Kedua-dua kandungan ini dapat mengurangkan simptom radang dan tahap histamin dalam badan.

Antara makanan yang kaya dengan quercetin ialah epal, ceri dan sayuran brokoli serta bayam.

Selain itu, pisang mampu melawan simptom ekzema kerana buah ini kaya dengan sumber kalium (potassium). Ubi kentang juga mempunyai banyak serat terdiri daripada kalium dan vitamin C.

Sayuran seperti bawang dan daun bawang turut mengandungi quercetin serta kaya dengan vitamin K, iaitu vitamin penting untuk penjagaan kulit sihat dan seimbang.

3. Kunyit

Kunyit adalah sejenis rempah ratus lazim digunakan dalam masakan. Ia mengandungi bahan antioksidan dipanggil curcumin yang dapat melindungi dan memelihara kulit daripada radikal bebas sambil mempercepatkan penyembuhan luka.

Amalkan satu sudu kecil kunyit dalam pemakanan harian untuk lihat keberkesanannya.

4. Minyak Zaitun

Minyak zaitun juga sesuai untuk merawat ekzema, tetapi pastikan ia minyak zaitun asli yang tidak dicampur dengan minyak sayuran atau minyak kekacang.

Minyak zaitun adalah satu rawatan alternatif yang diakui dapat digunakan untuk menangani ekzema, termasuklah ekzema di kalangan kanak-kanak.

5. Kayu Manis dan Madu

Campuran kayu manis dan madu mempunyai khasiat tersendiri. Campuran dua bahan ini boleh diamalkan sebagai satu lagi rawatan alternatif bagi merawat ekzema.

Sapukan campuran kayu manis dan madu pada bahagian kulit yang menghidapi ekzema sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Makanan lain

Ada banyak lagi makanan sesuai diamalkan untuk melawan ekzema seperti dinyatakan di atas, tetapi perlu diingat bahawa sesetengah makanan boleh mencetuskan kembali simptom pedih ekzema.

Satu daripada cara untuk mengetahui makanan mana yang sesuai bagi pesakit ekzema ialah membuat senarai diet untuk lihat tindak balas terhadap kulit.

Ingat, sesetengah makanan boleh mengambil masa sehingga dua hari atau tiga hari untuk menampakkan tindak balas pada kulit.

Jika anda was-was atau masih tidak pasti mana satu makanan yang boleh mencetuskan serangan alergi sehingga menyumbang kepada ekzema, sila rujuk doktor pakar untuk nasihat lanjut.

Rujukan:
1. http://www.bidadari.my/10-rawatan-semulajadi-melegakan-eczema-dan-psoriasis/
2. https://www.healthline.com/health/skin-disorders/eczema-diet#diet-plans-to-try
3. https://kidshealth.org/en/teens/eczema.html
4. https://www.webmd.com/skin-problems-and-treatments/eczema/atopic-dermatitis