Bila bercakap tentang obesiti, kita tidak terlepas daripada mengaitkannya dengan susuk tubuh manusia yang bertubuh gempal dan besar.

Maksud obesiti di sini adalah keadaan di mana seseorang memiliki lebihan lemak di dalam badan sehingga boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan.

Hakikatnya, obesiti atau gemuk berlebihan ini bukanlah keadaan yang kita dapat elakkan. Ianya berlaku kepada semua orang tanpa mengira bangsa dan warna kulit malahan kanak-kanak juga mengalaminya. Laporan terkini menunjukkan bahawa obesiti adalah salah satu penyakit yang meragut hampir 600 juta nyawa di seluruh dunia.

Aafiyat Lifestyle Musim 2

Situasi tentang obesiti di Malaysia pula agak menakutkan dan membimbangkan. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, hampir 8.5 juta rakyat Malaysia memiliki berat badan berlebihan manakala lebih kurang 4 juta orang pula mengalami masalah berat badan melampau atau obes.

Makanan Manis Punca Obesiti

Terdapat beberapa punca mengapa obesiti meningkat secara mendadak pada zaman sekarang. Salah satunya adalah pengambilan makanan berlebihan terutama makanan manis.

Makanan yang tinggi kandungan gula dan berkarbohidrat akan meningkatkan paras gula dan hormon insulin di dalam darah. Sekiranya lebih banyak makanan bergula diambil, semakin banyak insulin akan dirembeskan untuk menstabilkan paras gula.

Lama-kelamaan, paras gula ini akan menjadi tidak stabil. Seseorang itu akan menjadi lesu, kurang bertenaga dan sentiasa teringin makanan manis untuk meningkatkan tenaga. Akhirnya, berat badan akan naik sehingga terjadinya obesiti yang membawa pelbagai penyakit.

Makan Banyak, Kurang Bersenam, Kalori Menjadi Lemak

Obesiti ada kaitan dengan nilai tenaga yang diperoleh daripada makanan iaitu kalori. Seorang lelaki yang aktif memerlukan sekurang-kurang 2500 kalori setiap hari untuk kekal sihat dan cergas manakala seorang wanita memerlukan 2000 kalori setiap hari.

Nilai kalori ini boleh mempengaruhi berat badan seseorang. Jika anda mahu menurunkan berat badan, kurangkan kalori makanan dan bersenam untuk membakar kalori. Sekiranya mahu tambah berat badan, tambahkan kalori makanan dan buat senaman berat.

Tetapi masalah berlaku apabila kebanyakan orang gemar makan berlebihan dan jarang melakukan senaman. Tabiat ini akan menyebabkan badan cepat naik dan boleh menjadi obesiti sekiranya tidak dibendung.

Orang yang ada berat berlebihan ini memang suka makan walaupun perut tidak lapar. Mereka juga pasif dan sanggup duduk berjam-jam tanpa melakukan kerja-kerja berat. Akhirnya, kalori di dalam makanan yang tidak digunakan ditukarkan kepada lemak dan disimpan di bahagian-bahagian badan seperti perut, pinggang dan lengan.

Gemuk Berlebihan Sebab Genetik?

Ramai menganggap tiada gunanya menurunkan berat badan hanya kerana percaya “ini penyakit keturunan” atau “dah memang genetik aku.”

Sebenarnya ia tidak benar. Walaupun ada kes-kes tertentu yang mendorong seseorang mengalami obesiti disebabkan genetik seperti sindrom Prader-Willi, namun tidak ada sebab untuk menyalahkan sejarah ahli keluarga yang ada badan gemuk berlebihan.

Anda mungkin mewarisi tabiat makan berlebihan daripada ibu atau ayah anda dan ini menyebabkan anda obes tapi ianya boleh diubah.

Kebanyakan punca obesiti adalah kerana faktor luaran seperti pemakanan yang tidak seimbang dan gaya hidup yang tidak sihat.

Obesiti tidak berlaku dalam sehari dua. Ia berlaku sedikit demi sedikit akibat pemilihan makanan yang kurang berzat dan gaya hidup yang tidak sihat.

Sebab-Sebab Kesihatan

Dalam kes-kes tertentu, berat badan seseorang boleh naik mendadak disebabkan faktor kesihatan atau penyakit yang tiada kaitan dengan pemakanan. Di antara contoh penyakit adalah:

– Hypothyroidism – keadaan di mana kelenjar tiroid tidak menghasilkan hormon tiroid yang secukupnya.

– Sindrom Cushing – sindrom yang menyebabkan penghasilan hormon steroid yang melampau.

Walaubagaimanapun, kedua-dua penyakit di atas dapat dirawat dengan baik dan pesakit dapat menurunkan berat badan setelah menjalani rawatan.

Pengambilan ubat-ubatan juga boleh mempengaruhi obesiti. Ubat-ubatan seperti ubat anti kemurungan dan pil perancang boleh menyebabkan kegemukan. Ini mungkin berpunca daripada kesan tindak balas daripada pengambilan ubat-ubatan tersebut.

Kesan Obesiti Kepada Pesakit

Aspek kesihatan disebabkan obesiti adalah kesan yang paling ketara kerana lebihan lemak di dalam badan pesakit.

Orang yang obes akan mudah menghidap serangan jantung enam kali lebih tinggi berbanding orang yang kurus. Kajian pada tahun 2007 yang diterbitkan di dalam Archives of Internal Medicine mendapati orang yang ada berat badan berlebihan berisiko menghidap penyakit jantung sebanyak 32% manakala peratus mendapat sakit jantung bagi orang yang mengalami obesiti adalah 81%.

Kebarangkalian untuk mendapat penyakit angin ahmar juga tinggi bagi penghidap obesiti. Laporan pada tahun 2010 yang diterbitkan di dalam jurnal Stroke mendedahkan bahawa peratusan bagi orang yang obes untuk menghidap angin ahmar meningkat sebanyak 64%.

Masalah kencing manis sememangnya berkait rapat dengan obesiti. Hampir 90% orang yang obes akan menghidap diabetes jenis 2 yang sememangnya mengancam nyawa. Sekiranya tidak dirawat dengan segera, ia boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, mata boleh menjadi buta dan kudung kedua-dua belah kaki.

Menurut pakar, obesiti menjadi punca penyakit kanser hingga menyebabkan kematian. Kajian daripada American Cancer Society yang diterbitkan di dalam jurnal The New England Journal of Medicine mendapati 14% kes kematian pesakit kanser lelaki dan 20% kes kematian pesakit kanser wanita adalah disebabkan oleh obesiti.

Obesiti juga mempengaruhi kesihatan mental pesakit terutamanya yang berkaitan dengan kemurungan. Kajian pada tahun 2010 yang diterbitkan di dalam Archives of General Psychiatry mendapati risiko orang yang mengalami obesiti untuk menghidap kemurungan berbanding orang yang memiliki berat normal adalah sebanyak 55%. Faktor keyakinan diri yang rendah dan stigma masyarakat terhadap orang gemuk juga boleh mencetuskan kemurungan.

Cara Mengatasi Obesiti

Obesiti dapat diatasi menerusi rawatan dan juga intervensi kepada pesakit.

Menurut pakar, pesakit obesiti dapat mengurangkan berat badan dengan melakukan aktiviti senaman, menukar menu makanan daripada kurang sihat kepada sihat dan memperbaiki tingkah laku terhadap makanan. Sebahagian pesakit perlu mengambil ubat-ubatan manakala ada juga yang perlu menjalani surgeri.

Ubah Diet Untuk Lawan Obesiti – Doktor menyarankan pesakit obesiti untuk mengurangkan jumlah kalori makanan harian dan melebihkan makan buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh.

Antara buah buahan yang dapat membantu dalam mengawal obesiti adalah buah delima dan buah teen. Disamping itu, gunakan minyak zaitun dalam penyediaan makanan harian.

Walaupun diet makanan telah berubah, namun pesakit perlu mempelbagaikan makanan untuk mengelakkan kebosanan. Pengambilan gula, karbohidrat dan lemak tak sihat perlu dikurangkan dengan segera.

Pesakit yang kurang bermotivasi untuk mengubah diet perlu mendapatkan khidmat doktor, pakar pemakanan atau menjalani program kurus badan yang diperakui.

Ini kerana kaedah diet tanpa pengawalan dan ikut suka-suka akan menyebabkan beberapa masalah lain seperti:

– Pesakit akan membahayakan kesihatan mereka

– Pesakit mungkin akan mengalami kemerosotan vitamin di dalam badan

– Pesakit mungkin akan berhenti buat diet sekiranya berat badan masih belum turun

Oleh itu, mereka yang sememangnya obes atau memiliki berat badan yang melampau perlu mendapatkan rawatan daripada pakar.

Lakukan Aktiviti Fizikal

Formula untuk mengurangkan berat badan adalah mudah; lebih banyak anda bergerak, lebih banyak kalori dibakar dan lebih cepat untuk kurus. Untuk menghilangkan 1 kilogram lemak, anda perlu membakar 7,700 kalori dengan bersenam. Untuk permulaan, orang yang obes boleh berjalan perlahan-lahan untuk meningkatkan aktiviti fizikal harian. Gabungkan aktiviti fizikal dengan diet yang betul akan meningkatkan peluang untuk kurus secara berkesan.

Cuba lakukan apa-apa aktiviti yang boleh membuatkan anda bergerak. Sekiranya anda kerap menaiki lif ke tempat kerja, apa kata cuba menaiki tangga untuk sampai ke pejabat. Parkir kereta jauh sedikit supaya anda boleh kerap berjalan.

Jika anda pergi ke kedai dan jaraknya adalah dekat, cuba berjalan kaki dan tinggalkan kereta di rumah. Biasakan diri untuk bergerak lebih banyak supaya lebih banyak kalori dapat dibakar.

Pesakit obes yang kritikal, tidak cergas dan ada masalah kesihatan perlu mendapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu sebelum melakukan apa-apa kegiatan fizikal.

Pengambilan Ubat-ubatan Untuk Mengatasi Obesiti

Ubat-ubatan hospital adalah langkah terakhir untuk merawat obesiti.

Sekiranya pesakit mendapati dirinya amat sukar untuk mengurangkan berat badan dengan senaman dan diet sihat atau paras obesiti paras adalah kritikal dan boleh mengancam nyawanya, pesakit itu perlu mengambil ubat-ubatan khas.

Terdapat beberapa kriteria lain yang perlu diperhalusi sebelum doktor mengeluarkan perskripsi ubat kepada pesakit obesiti:

– Kesemua kaedah untuk mengurangkan berat badan adalah gagal sepenuhnya

– Pesakit menghidap kencing manis, darah tinggi atau sakit jantung

– Pesakit tidak mampu bergerak dan perlu bantuan orang

Satu daripada ubat yang disyorkan oleh pakar untuk merawat obesiti adalah Xenical. Namun ubat-ubatan ini perlu diambil berterusan oleh pesakit. Sekiranya berhenti makan atau terputus bekalan, terdapat kebarangkalian berat badan akan naik semula.

Surgeri menurunkan berat badan

Obesiti dapat diatasi menerusi surgeri khusus yang dikenali sebagai Bariatric Surgery. Ia dilakukan khusus untuk pesakit obes kritikal di mana sebahagian perut atau usus kecil pesakit dikeluarkan. Selepas tamat rawatan, berat badan pesakit akan menurun.

Secara ringkasnya, Bariatric Surgery mengubah keadaan perut atau usus kecil supaya pesakit tidak dapat makan banyak. Ini membantu mengurangkan kalori makanan yang diambil, seterusnya membantu mengurangkan berat badan.

Menurut American Society for Bariatric and Metabolic Surgery, Bariatric Surgery dapat merawat penyakit yang berkaitan dengan obesiti seperti kencing manis, sakit jantung, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi.

Membudayakan amalan sihat

Pencegahan adalah lebih baik daripada merawat. Mungkin itu adalah pernyataan yang sesuai untuk mengurangkan masalah obesiti yang berleluasa di kalangan masyarakat hari ini.

Kelimpahan makanan yang beraneka jenis dan budaya makan rakyat Malaysia sedikit sebanyak mempengaruhi gaya hidup kita. Fenomena restoran hipster dan ‘food truck’ menjadikan tabiat makanan kita berubah dengan kemudahan menikmati pelbagai juadah yang menyelerakan tanpa halangan.

Walaupun banyak program dan kempen kesihatan yang dijalankan oleh pihak kerajaan, namun kesedaran untuk membudayakan amalan sihat hanya bermula di peringkat individu itu sendiri. Terdapat pelbagai pendekatan yang boleh diambil untuk mencegah obesiti daripada melarat dan individu itu berhak mendapatkan apa yang terbaik untuk kesihatan dirinya.