Penyakit batu karang (kidney stone) adalah masalah kesihatan yang lazim terjadi di kalangan lelaki. Ubat batu karang yang paling berkesan sememangnya agak sukar ditemui. Oleh itu, segala langkah pencegahan patut diambil dari awal lagi seperti mengenali tanda-tanda batu karang jika ia mula menyerang seseorang.

Artikel ini akan mengenalpasti punca, tanda-tanda, jenis dan rawatan untuk masalah batu karang dimana semua maklumat ini sangat berguna bagi menghadapi kemungkinan berlakunya serangan penyakit ini.

Bagi mereka yang sedang mengalami masalah ini, semua maklumat ini diharap dapat membantu dari aspek rawatan dan pencegahan daripada berulang.

Aafiyat Lifestyle Musim 2

Apa Itu Batu Karang?

Secara umumnya, batu karang merujuk kepada batu yang terbentuk di dalam saluran kencing, iaitu dari buah pinggang hingga ke pundi kencing.

Dari segi perubatan, terdapat pelbagai jenis batu karang dimana setiap satunya berbeza mengikut simptom dan bahagian tubuh badan yang mengalami kesakitan. Jika batu karang tersebut berada di dalam buah pinggang, ia dikenali “nephrolithiasis” dan jika ia di dalam ureter iaitu saluran yang menghubungkan buah pinggang dan pundi kencing, ia dikenali sebagai “ureterolithiasis”.

Bagaimanapun, secara umum ia dikenali sebagai “urolithiasis”, iaitu batu di dalam saluran kencing.

Selain mengakibatkan rasa sakit yang melampau, batu karang juga boleh menyebabkan kerosakan atau kegagalan buah pinggang.

Lebih teruk lagi, batu karang boleh menyebabkan jangkitan kuman yang membawa kepada berlakunya nanah di dalam buah pinggang. Ini mengakibatkan pembentukan bisul di dalam organ berkenaan. Akibatnya, jika kuman merebak ke seluruh sistem tubuh badan tanpa sempat dirawat, ia boleh menyebabkan kematian.

Mari kita lihat dengan lebih lanjut berkaitan penyakit ini.

Punca Penyakit Batu Karang

Batu karang terjadi disebabkan pelbagai punca, antaranya termasuklah;

Kurang Air

Kurangnya pengambilan air adalah antara punca berlakunya penyakit batu karang. Apabila kita kurang minum air, penghasilan air kencing juga turut berkurangan dan ini menyebabkan air kencing menjadi semakin pekat. Malahan, air kencing juga akan dipenuhi kalsium, oxalate dan asid urik yang menyebabkan pembentukan batu karang.

Garam

Garam masakan mengandungi kandungan natrium yang tinggi. Pengambilan garam dalam kuantiti yang tinggi boleh menyebabkan pembentukan batu karang. Unsur natrium di dalam garam akan menyebabkan banyak kalsium masuk ke dalam air kencing, lantas menyebabkan berlakunya pembentukan batu karang.

Lemak Omega 6

Makanan yang tinggi dengan bahan Omega 6, seperti lemak haiwan dan beberapa jenis minyak sayuran boleh mendorong kepada pembentukan batu karang. Terdapat kajian yang merumuskan bahawa lemak jenis ini boleh mempengaruhi kemasukan oxalate dan mengurangkan pergerakan kandungan citrate ke dalam air kencing dimana keadaan ini membolehkan berlakunya pembentukan batu karang.

Vitamin C

Vitamin C yang diambil untuk tujuan kesihatan akan diuraikan di dalam tubuh badan. Akan tetapi, selain manfaat kesihatan,terdapat juga kesan sampingan. Ini adalah kerana Vitamin C mempunyai kompaun oxalate dimana secara lazimnya, oxalate akan disingkirkan menerusi air kencing. Apabila kandungan oxalate tinggi di dalam air kencing, ia boleh menyebabkan terbentuknya batu karang.

Penyakit Metabolik

Penyakit metabolik boleh menyebabkan peningkatan kalsium yang tinggi di dalam badan dan menyebabkan simptom “hypercalciuria”. Hypercalciuria merujuk kepada kadar kandungan kalsium yang tinggi di dalam air kencing dan ia adalah salah satu penyebab berlakunya pembentukan batu karang.

Peningkatan kalsium di dalam badan boleh disebabkan pelbagai faktor. Antaranya termasuklah pengambilan makanan tambahan yang mengandungi unsur kalsium pada kadar berlebihan. Ia juga mungkin disebabkan penyerapan kalsium dari tulang ke dalam darah pada kadar yang tinggi.

Dengan kata lain, batu karang boleh terbentuk apabila wujudnya unsur kalsium dan oxalate dalam kuantiti yang banyak di dalam air kencing.

Masalah kesihatan ini boleh dielakkan jika kandungan citrate wujud dalam kuantiti yang tinggi di dalam air kencing.

Tanda-Tanda Batu Karang

Antara tanda lazim terjadinya batu karang ialah sakit belakang, kencing kotor, sakit ketika buang air kecil dan kencing berdarah.

Semua simptom batu karang, terutama pada tahap serius, dapat dirasai pesakit.

Batu karang yang bergerak melalui ureter dan tersekat akan menyebabkan saluran ureter mengembang dan menjadi punca sakit belakang yang teruk.

Pesakit akan merasa sakit belakang di bahagian kiri atau kanan badan. Rasa sakit tersebut bergantung kepada tempat di mana batu karang itu berada.

Kesan kesakitan itu akan merebak ke bahagian lain sehinggalah ke bahagian kemaluan pesakit. Tahap kesakitan akibat batu karang dikatakan lebih teruk berbanding sakit hendak bersalin (menurut gambaran dari pesakit wanita yang pernah bersalin).

Tanda lain seseorang diserang masalah batu karang ialah loya dan muntah.

Ada juga pesakit batu karang yang tidak mengalami kesakitan dan ia adalah berkemungkinan mereka mempunyai masalah batu karang jenis bercabang seperti tanduk rusa yang juga dikenali sebagai ‘batu staghorn’.

Batu karang jenis ini lazimnya tidak menampakkan sebarang tanda kerana ia tidak membabitkan pengembangan saluran ureter. Namun, ia boleh menyebabkan jangkitan saluran kencing akibat kewujudan bakteria pada batu karang berkenaan.

Jenis Batu Karang

Batu Karang Stones

Lazimnya wujud beberapa jenis batu karang, iaitu:

  • Batu Kalsium (Kalsium Oxalate)
  • Batu Asid Urik
  • Batu Cystine
  • Batu Struvite.

Batu Struvite terbentuk dari unsur magnesium, ammonia dan fosfat yang bercampur dengan karbonat. Batu Struvite juga dikenali sebagai batu jangkitan.

Batu Kalsium terbentuk hasil campuran 80 peratus bahan kalsium dimana ia berbentuk bercabang dan tajam.

Batu Kalsium Fosfat terbentuk akibat jangkitan kuman dalam air kencing yang bersifat alkali.

Batu Asid Urik pula terbentuk disebabkan penyakit gout.

Batu karang bukan sahaja boleh wujud di dalam saluran kencing. Ia juga boleh terbentuk di dalam hempedu.

Batu karang jenis Kalsium Oxalate, Kalsium Fosfat dan Stuvite dapat dikesan menggunakan X-Ray.

Batu karang jenis Asid Urik dan Cystine pula dapat dikesan menerusi kaedah ultrasound atau ujian CT scan.

Batu karang tidak terbentuk dalam masa yang singkat. Ia mengambil masa yang lama untuk terbentuk dan membesar di dalam ginjal. Bagi sesetengah kes, ia mungkin mengambil masa sehingga berpuluh tahun untuk terbentuk, tanpa disedari.

Data perubatan menunjukkan satu daripada 20 orang terdedah dengan risiko penyakit batu karang. Dari segi jantina pula, lelaki mempunyai kecenderungan yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit ini berbanding wanita dengan nisbah 3:1.

Dari segi usia, batu karang kerap dialami oleh individu berusia di antara 20 tahun dan 50 tahun.

Penyakit batu karang merupakan penyakit yang boleh berulang.

Rawatan Batu Karang

Hari ini, terdapat banyak kaedah rawatan batu karang samada secara tradisional mahupun moden.

Rawatan tradisional batu karang biasanya menggunakan buah-buahan, herba dan akar kayu. Penawar batu karang ini biasanya diwarisi sejak turun temurun. Kaedah rawatan tradisional ini akan dirangkumi secara terperinci di dalam artikel lain nanti

Berikut ialah beberapa kaedah moden yang biasa menjadi pilihan doktor perubatan dalam merawat batu karang.

Kebiasaannya kaedah rawatan akan bergantung kepada tahap penyakit. Antara rawatan yang biasanya diberikan adalah:

  • Ubat tahan sakit
  • Antibiotik
  • Ubat hancurkan batu karang
  • Pembedahan

Ubat Tahan Sakit

Ubat tahan sakit akan digunakan sebagai rawatan awal sementara doktor perubatan mempertimbangkan kaedah lain. Lazimnya ubat tahan sakit yang diberikan adalah daripada jenis “non steroidal anti-inflammatory drugs”.

Penggunaan ubat ini akan memberi kelegaan kepada saluran ureter, sekali gus mengurangkan kesakitan yang dialami oleh pesakit.

Jika pesakit masih sakit, biasanya doktor perubatan akan memberi ubat yang lebih kuat, seperti morfin. Sekiranya kesakitan masih tidak berkurangan, pesakit berkemungkinan dimasukkan ke wad untuk rawatan seterusnya.

Antibiotik

Doktor perubatan juga akan mempertimbangkan untuk memberi antibiotik kepada pesakit batu karang. Antibiotik biasanya diberikan selepas pemeriksaan air kencing dilakukan dan ujian air kencing mendapati ada tanda-tanda kencing kotor. Kencing kotor biasanya menunjukkan jangkitan kuman telah berlaku dan ia mewajarkan pemberian antibiotik.

Ubat Menghancurkan Batu Karang

Batu karang jenis Asid Urik dan Cystine boleh dilarutkan atau dihancurkan. Kaedah yang digunakan adalah dengan mengubah tahap keasidan air kencing supaya menjadi lebih alkali.

Ubat jenis “potassium citrate” digunakan untuk melarutkan batu karang dimana ubat ini mampu melarutkan batu karang yang bersaiz sehingga satu sentimeter.

Pembedahan

Kaedah pembedahan akan digunakan sekiranya perlu. Ianya akan dipertimbangkan apabila semua kaedah lain didapati tidak berkesan untuk menghilangkan kesakitan. Ia juga dilakukan sekiranya pesakit menghadapi risiko jangkitan kuman dan boleh mengakibatkan kerosakan buah pinggang.

Prosedur lain

Selain dari kaedah yang telah dinyatakan di atas, terdapat satu lagi kaedah yang kini digunapakai oleh pakar perubatan moden. Kaedah yang dimaksudkan adalah “extracorporeal shockwave lithotripsy” (ESWL).

Kaedah ESWL ini adalah sejenis prosedur merawat batu karang tanpa pembedahan. Ia adalah kaedah rawatan yang dapat memecahkan batu karang menggunakan gelombang bunyi berkuasa tinggi.

Pesakit batu karang tidak perlu risau dan pening kepala untuk memilih kaedah rawatan moden yang diperlukan. Jenis rawatan akan ditentukan oleh doktor yang mengendalikan kes anda selepas segala ujian dilakukan terlebih dahulu.

Mencegah Pembentukan Batu Karang

Walau apa pun kaedah rawatan yang wujud, cara terbaik untuk menghadapi masalah Batu Karang adalah dengan mencegah pembentukan batu karang itu sendiri. Cara pencegahan paling baik adalah dengan mengamalkan langkah pencegahan melalui amalan pemakanan sihat dan gaya hidup aafiyat.

Dari aspek pemakanan, anda patut mengelak dari mengambil makanan yang boleh menyebabkan pembentukan kalsium dan asid berlebihan seperti tomato dan anggur yang mengandungi unsur Natrium dan Oxalate yang tinggi. Pengambilan makanan ini dalam kuantiti yang berlebihan akan menyebabkan peningkatan kalsium dalam air kencing dan menggalakkan pertumbuhan batu karang jenis Kalsium.

Minuman air berkarbonat, walaupun sedap rasanya, adalah salah satu daripada penyebab pembentukan batu karang. Kebanyakan air jenis ini mengandungi Asid Fosforik yang menjadi agen pembentukan batu karang. Oleh itu, kurangkan pengambilan air berkarbonat sekiranya anda ingin mengelakkan dari terhasilnya batu karang jenis Kalsium Fosfat.

Minum air yang mencukupi setiap hari. Air yang cukup dapat mengelakkan air kencing menjadi pekat. Apabila kencing mula pekat, struktur kompaun di dalam air kencing akan menjadi semakin rapat satu sama lain dan seterusnya membentuk batu karang.

Di samping itu, terdapat makanan yang dikenal pasti dapat mengurangkan risiko pembentukan batu karang seperti buah delima, buah teen, minyak zaitun dan juga madu.

Buah Delima kaya dengan antioksida yang bertindak untuk melindungi buah pinggang dari kerosakan akibat radikal bebas. Disamping itu, buah Delima juga dapat mengurangkan tahap keasidan air kencing sekaligus melarutkan batu karang (jika ada) secara semula jadi.

Pengambilan Jus Delima (Jus Delima Azerbaijan) secara konsisten setiap hari dapat mengelakkan pembentukan batu karang.

Sesungguhnya masalah batu karang ini boleh dicegah. Apa yang penting adalah mengamalkan pemakanan serta gaya hidup yang sihat dan aafiyat.

Rujukan:
www.mayoclinic.org/diseases-conditions/kidney-stones/symptoms-causes/syc-20355755
www.medicinenet.com/kidney_stones/article.htm#what_causes_kidney_stones_continued
www.syifa.info/inilah-tanda-tanda-penyakit-batu-karang-yang-ramai-tak-sedar/
www.stylecraze.com/articles/effective-home-remedies-to-flush-out-kidney-stones
www.webmd.com/kidney-stones/extracorporeal-shock-wave-lithotripsy-eswl-for-kidney-stones
commons.wikimedia.org/wiki/File%3AKidney_stones_(_renal_calculi_)%2C_%D0%91%D1%83%D0%B1%D1%80%D0%B5%D0%B6%D0%BD%D0%B8_%D0%BA%D0%B0%D0%BC%D0%B5%D1%9A%D0%B0_14.jpg